Sejarah SK Seri Pantai

Perkembangan pendidikan awal orang-orang Melayu pada mulanya (sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu) adalah berlandaskan semata-mata kepada pelajaran kitab suci Al-Quran. Biasanya kanak-kanak Melayu mengaji Quran daripada imam di masjid, surau dan pondok.

Berdasarkan fakta di atas, pendidikan masyarakat Melayu boleh dirumusan bahawa aktiviti pelajaran adalah terhad kepada membaca Quran, huruf abjad arab, mengingat dan melafaz doa dan mempelajari prinsip-prinsip agama Islam.

Pendidikan tradisi seperti ini merupakan pendidikan tidak formal, tetapi merupakan pendidikan asas. Ia berkembang sehingga kurun ke-19, apabila Sistem Pendidikan Vernakular Melayu baru diwujudkan oleh penjajah British. Perkembangan sekolah Vernakular Melayu di Mersing bermula pada tahun 1910, apabila dua buah sekolah dibuka iaitu Sekolah Melayu Endau dan Sekolah Melayu Mersing. (*)

Pada tahun 1913, En. Mohd. Noor b. Hj. Abdul Ghani menjadi guru besar Sekolah Melayu Endau dan pada tahun 1918, En. Abdullah b. Latiff pula menjadi guru besar Sekolah Melayu Mersing. (*)

Pada tahun 1918, dua buah sekolah Melayu dibuka di pulau perairan Mersing iaitu Sekolah Melayu Pulau Babi, guru besarnya En. Mohd. Tahir b. Rahmat dan Sekolah Melayu Pulau Aur, guru besarnya En. Pandak b. Hj. Badar. Pada tahun 1927 Sekolah Melayu Tenglu pula dibuka. (*)

Tercetusnya Perang Pasifik dan tentera Jepun memerintah Tanah Melayu, di antara tahun 1942 hingga tahun 1945, semua jenis sekolah di negara ini terpaksa ditutup kecuali sekolah yang digunakan oleh tentera Jepun untuk mengajar Bahasa Jepun. Tidak terkecuali sekolah-sekolah di Mersing di mana Sekolah Melayu Mersing telah dirobohkan oleh pihak British kerana bimbang akan digunakan oleh pihak Jepun.

Walaupun keadaan tidak aman, tetapi dengan daya usaha orang-orang kampung, sewaktu pemerintahan Jepun ini terdapat dua buah sekolah di Mersing pada tahun 1945. Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Melayu Seri Pantai dan Sekolah Melayu Sawah Dato'.

Sekolah Melayu Seri Pantai ini telah diwujudkan pada 1 November 1945 dengan nama 'Sekolah Melayu Kuala Jemaluang', menyewa rumah kediaman En. Abdul Hamid b. Mulasa, di Jalan Mersing - Johor Bahru (rumah kepunyaan En. Ahmad b. Abdul Hamid, bekas Pegawai RISDA Mersing, dengan bayaran $5.00 sebulan).

Orang yang mengasaskannya ialah Tn. Hj. Idris b. Abdul (Penghulu Kuala Jemaluang), En. Abdullah b. Abdul Ghani, En. Ariffin b. Hj. Othman dan Lebai Shahrom b. Hj. Kassim. Bilangan muridnya 17 orang. En. Ibrahim b. Endut telah ditugaskan mengajar dan menjadi guru besar.

Sekolah Agama juga diwujudkan pada tahun itu dengan menggunakan bangunan yang sama. Tn. Hj. Mohd. Amin b. Abdul Karim menjadi guru dan guru besarnya. Tetapi pada awal tahun 1985 telah berpindah ke bangunan sendiri, apabila kerajaan membina bangunan sekolah agama di kampung ini.

Pertambahan murid dan tempat belajar yang tidak sesuai lagi maka penduduk kampung ini telah bergotong-royong mendirikan bangunan sekolah baharu.

Pasukan Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) telah menyumbangkan bantuan atap. Tenaga pengajar juga ditambah iaitu Tn. Hj. Othman b. Abdullah, pada 25 November 1945.

Bangunan yang dibina secara bergotong-royong itu mengandungi 4 bilik darjah. Bilangan murid 40 orang, dengan 2 orang tenaga pengajar, sehinggalah ke tahun 1952. Ini bererti mereka terpaksa mengajar 2 darjah seorang. Pada awal tahun 1953, Jabatan Pelajaran telah menambah seorang guru lagi iaitu En. Ali b. Hamzah, kemudian En. Abu Bakar b. Ibrahim pada awal tahun 1955.

Apabila penduduk-penduduk yang bertaburan iaitu kampung-kampung Kuala Jemaluang, Cik Wook Kanan, Cik Wook Kiri, Batu 5, Batu 3, Batu 4, Batu 7 dan Pengkalan Batu 3 ditempatkan di kawasan "Petempatan Baru" tersusun dan dijadikan kampung baharu yang dikenali sebagai "Kampung Sri Pantai", kerajaan telah membina bangunan sekolah baharu mengandungi 6 bilik darjah.

Bangunan ini mula digunakan pada 28 Februari 1954, muridnya seramai 100 orang. Seorang guru, Tn. Hj. Amir Hamzah b. Mohd. Zain ditempatkan di sekolah ini.

Murid-murid sekolah ini menamatkan pelajaran mereka sehingga darjah 4 sahaja. Mereka terpaksa melanjutkan pelajaran ke Sekolah Melayu Mersing, kira-kira 8 km jaraknya untuk memasuki darjah 5. Ramai di antara murid-murid itu tercicir terutamanya murid-murid perempuan. Perhatian ibu bapa tentang kepentingan pelajaran, kemudahan kenaikan, masalah sosial dan ekonomi adalah faktor utama keciciran ini berlaku.

Untuk mengatasi masalah itu dan anak-anak penduduk kampung ini mendapat pendidikan dan latihan selayaknya dan supaya mereka boleh menyertai kegiatan pembangunan negara, maka Jabatan Pelajaran telah menubuhkan darjah 5 di sekolah ini pada awal tahun 1957. Dengan penubuhan ini bilangan muridnya bertambah iaitu seramai 142 orang dan pada 6 Februari 1957, seorang guru pelatih, En. Ibrahim b. Haron, ditempatkan di sekolah ini.

Pada 9 September 1958, berlaku satu malapetaka yang amat menyedihkan dan sukar dilupakan terutamanya murid-murid dan guru-guru yang mengalami peristiwa itu. Atap bangunan sekolah ini telah roboh ditiup angin kencang ketika murid-murid sedang tekun mengikuti pelajaran yang diajarkan oleh guru. Kerosakan telak dibaik pulih segera dengan tujuan supaya pengajaran dan pembelajaran tidak tergendala, tetapi pada 4 Oktober 1959 malapetaka itu berulang lagi. Bangunan sekolah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh digunakan lagi.

Berikutan peristiwa tersebut, murid-murid telah kehilangan tempat belajar. Walau bagaimanapun, mereka terus belajar dengan menggunakan bangunan surau dan rumah ketua kampung sebagai tempat belajar sementara. Jabatan Pelajaran kemudiannya telah membina bangunan baharu (6 bilik darjah) pada bulan Ogos 1960 dan mula digunakan pada bulan Disember 1960.

Perkembangan dan pertambahan murid-murid yang semakin pesat berkaitan kesedaran para ibu bapa di kampung ini, maka Jabatan Pelajaran telah menubuhkan pula darjah 6 dan seorang guru terlatih dari Maktab Harian (DTC), En. Jaafar b. Abdullah, ditempatkan di sekolah ini pada 11 Januari 1961. Dengan ini sekolah ini mempunyai 7 orang tenaga pengajar, 6 aliran darjah dan 114 orang murid.

Apabila Dasar Pelajaran Razak diperkenalkan pada tahun 1961, sekolah ini ditukarkan namanya kepada "Sekolah Umum Seri Pantai" tetapi pada tahun 1962 diubah pula kepada "Sekolah Kebangsaan Seri Pantai" hingga sekarang.

Sejak diwujudkan, beberapa orang guru telah ditempatkan di sekolah ini oleh Jabatan Pelajaran silih berganti. Di antanya termasuklah:

  • En. Mohd Yusuf b. Md. Khalid pada 1 Ogos 1967 (bekas Pegawai Pendidikan Daerah Mersing),
  • Tn. Hj. Abdul Aziz b. Masri pada 15 Februari 1970 (bekas Guru Besar SK Tenggaroh 3),
  • Pn. Hjh. Nazariah bt. Ahmad pada 1 Februari 1980 (bekas Guru Besar SK Tenglu),
  • Tn. Hj. Abdul Majid b. Janang pada 26 Januari 1958,
  • Tn. Hj. Sabran b. Janang (guru Agama) pada 1 Mac 1965,
  • Tn. Hj. Amir Hamzah b. Mohd. Zain pada 28 Februari 1954,
  • En. Ali b. Hamzah pada 1 Januari 1953,
  • En. Muhammad b. Sulong (bekas Guru Besar SK Felda Nitar 2),
  • En. Jamali b. A. Kadir (bekas Guru Besar SK Pulau Sibu),
  • En. Abu Bakar b. Ibrahim pada 1 Januari 1955,
  • En. Ramlan b. Ngadiman pada 2 Januari 1971,

dan ramai lagi.

Seramai 4 orang guru besar telah berkhidmat di sekolah ini. Mereka ialah:
  1. En. Ibrahim b. Endut (1 November 1945 - 1 November 1969)
  2. En. Othman b. Abdullah (1 November 1969 - 11 Jun 1979)
  3. En. Salleh b. Hashim (1 November 1980 - 22 Februari 1981)
  4. Tn. Hj. A. Sani b. Hj. Othman (22 Februari 1981 - sekarang)

Seiringan dengan proses pembesaran sekolah-sekolah pada tahun 1985, dibina pula bangunan baharu, 6 bilik darjah dan tandas di bawah projek pasang siap.

Dari seramai 17 orang murid dan hanya seorang guru pada mula ianya diwujudkan, sekolah ini kini mempunyai 267 orang murid dan 17 orang guru.

Tidak dapat dinafikan bahawa ramai anak-anak kampung ini menjadi pegawai perubatan, jurutera, akauntan, pegawai polis, pegawai tentera, guru dan para profesional lain yang mendapat pendidikan daripada Sekolah Kebangsaan Seri Pantai ini.

Catatan: Bertanda (*), rujuk buku SEJARAH SEKOLAH-SEKOLAH JOHOR

*Petikan ini ditulis pada sekitar tahun 1980an

Tiada ulasan:

Catat Ulasan